BUDAPEST – Perancis berjaya menjuarai peringkat Kumpulan D selepas meraih keputusan seri 2-2 bertemu juara bertahan, Portugal dalam saingan Euro 2020 yang berlangsung cukup sengit di Puskas Arena sebentar tadi.
Pada aksi ‘ulangan’ final edisi 2016 itu, skuad Portugal yang dibimbing oleh Fernando Santos sememangnya terdesak memburu mata penting bagi menghidupkan peluang untuk layak ke pusingan kalah mati.
Asakan bertali arus yang dilakukan oleh Selecao membuahkan hasil apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-30 selepas penjaga gol Perancis, Hugo Lloris mengasari pemain tengah, Danilo.
Kesempatan itu disempurnakan oleh penyerang sensasi yang juga kapten pasukan, Cristiano Ronaldo untuk meledak jaringan pembukaan buat Portugal.
Namun, kelebihan yang dimiliki juara bertahan itu tidak bertahan lama apabila giliran Perancis pula diberikan sepakan penalti apabila Kylian Mbappe dijatuhkan pada masa kecederaan babak pertama.
Peluang tersebut tidak disia-siakan oleh penyerang utama Les Bleus, Karim Benzema untuk memastikan keputusan terikat 1-1 sebelum masuk separuh masa kedua.
Bersambung babak kedua, Benzema tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-47 selepas bijak menyudahkan peluang untuk menewaskan penjaga gol Portugal, Rui Patricio.
Tersentak dengan gol itu, Portugal terus menggandakan asakan dan sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena pada tangan pertahanan Perancis, Jules Kounde.
Ronaldo diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan sepakan tersebut dan tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Lloris buat kali kedua pada minit ke-60.
Jaringan yang dilakukan oleh Ronaldo itu menyaksikan dirinya menyamai rekod jaringan terbanyak antarabangsa yang dipegang oleh penyerang legenda Iran, Ali Daie dengan 109 gol.
Beberapa siri asakan terus dilakukan oleh kedua-dua pasukan dalam usaha memburu kemenangan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan tersebut sekali gus mengesahkan Perancis kekal sebagai pendahulu kumpulan F dengan lima mata manakala Portugal di tempat ketiga dengan empat mata.
Portugal akan bertemu Belgium pada aksi peringkat kalah mati, manakala Perancis akan berdepan Switzerland pada saingan yang akan berlangsung minggu depan. – K! ONLINE