HULU TERENGGANU – Seorang penjaga gajah ditemui mati dalam keadaan mengerikan dalam keadaan perutnya terbelah selepas diserang dan dipijak mamalia itu yang dianggarkan seberat 2.2 tan.
Kejadian malang itu berlaku di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) di sini semalam.
Mayat mangsa, Anucha Tangsakun, 38, yang merupakan warga Thailand ditemui rakan sekerjanya yang dikenali sebagai Sangsai pada pukul 8.15 pagi.
Tidak jauh dari lokasi mayat mangsa ditemui, terdapat seekor gajah bernama Tenang yang dipercayai menyerang lelaki itu berikutan kesan darah pada belalai haiwan jantan tersebut.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian, pekerja di KECV melihat mangsa melakukan kerja-kerja pembersihan, memberi makan dan membawa gajah mandi di sungai pada pukul 7.45 pagi.
“Semasa kejadian, si mati melepaskan ikatan rantai pada kaki Tenang untuk membawa haiwan itu mandi.
“Tenang tiba-tiba naik minyak dan menyerang mangsa di bahagian perut dan paha dengan menggunakan gadingnya,” katanya di sini semalam.
Semasa diserang haiwan berusia 22 tahun itu, mangsa menjerit meminta tolong.
Sangsai kemudian bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati rakannya sudah tidak lagi bernyawa. Pemeriksaan mendapati belalai Tenang mempunyai kesan darah.
Lelaki itu kemudian meminta bantuan pekerja lain menenangkan dan mengalihkan Tenang sebelum memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak pengurusan KECV.
Beliau memberitahu, emosi Tenang dikatakan kurang stabil sejak dua minggu lalu selepas dicederakan pada bahagian belalai oleh seekor gajah jantan liar lain yang menceroboh perkampungan tersebut.
Tenang merupakan antara gajah jantan yang paling dominan dan lama menghuni perkampungan konservasi gajah itu sejak dibuka tujuh tahun lalu.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat,” katanya.
Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
KECV yang mempunyai 18 ekor gajah berkeluasan kira-kira 260 hektar dan yang mula beroperasi 9 Mei 2014.