GLASGOW – Pemain tengah Croatia, Luka Modric terus menjadi watak penting apabila membantu pasukan itu menewaskan Scotland 3-1 pada aksi terakhir Kumpulan D, Euro 2020 di Hampden Park awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Modric, Nikola Vlasic dan Ivan Perisic masing-masing menjaringkan satu gol bagi membawa Croatia melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Terdahulu, prestasi Modric menjadi persoalan dan dia berdepan kritikan apabila dilihat semakin hilang sentuhan selepas menampilkan aksi di bawah prestasi sebenar pada perlawanan terdahulu.
Bagaimanapun, aksi awal pagi semalam membuktikan pemain Real Madrid itu masih berbisa apabila menjaringkan gol menarik, selain menjadi nadi yang menggerakkan serangan pasukannya.
“Selepas perlawanan malam ini (semalam), kami berasa sangat bangga kerana sudah menampilkan aksi terbaik. Jika kalah sekalipun, kami tidak akan kecewa dengan persembahan pasukan.
“Saya sangat gembira kerana dapat jaringkan satu gol untuk pasukan dan ia sangat bermakna. Gol adalah penting untuk saya, namun aksi sepasukan lebih jadi keutamaan,” kata pemenang anugerah Ballon d’Or 2018 itu.
Menerusi kemenangan itu, Croatia turut menyingkirkan Scotland daripada kempen kali ini selepas skuad kendalian Steve Clarke berada di kedudukan tercorot kumpulan dengan satu mata. – AGENSI