LONDON – Pasukan Mercedes mengakui, mereka mampu menyekat kemaraan Red Bull Racing (RBR) sekiranya menampilkan aksi terbaik dalam saingan Formula Satu (F1) di Grand Prix Styrian hujung minggu ini.
Minggu lalu, pasukan RBR menerusi pemandu terbaiknya, Max Verstappen melakukan kejutan apabila menjuarai GP Perancis sekali gus melebarkan kedudukan pendahulu kejuaraan F1 berbanding pencabar utama, Lewis Hamilton.
Rentetan kejayaan tersebut, Red Bull dikatakan mempunyai jentera yang cukup pantas terutama di laluan lurus, sekali gus membuatkan Mercedes tidak senang duduk dengan kemajuan yang dicapai seteru utamanya itu.
Pengarah kejuruteraan Mercedes, Andrew Shovlin yakin bahawa pasukannya itu mempunyai strategi terbaik untuk kembali merampas kedudukan yang diraih Red Bull ketika ini, namun tidak menolak akan berdepan cabaran sengit.
“Saya lihat Mercedes masih mampu untuk mengatasi Red Bull. Perjalanan perlumbaan masih lagi panjang. Ketika di Perancis saya lihat kami hanya terlepas peluang bukannya tidak mampu bersaing.
“Kami tahu situasi ketika ini sangat mencabar dan Mercedes juga melihat Red Bull merupakan pasukan pilihan dalam saingan ini.
“Jelas, mereka mempunyai pakej jentera yang sangat bagus tetapi jika kami melakukan yang terbaik selepas ini pasti Mercedes kembali merampas kejuaraan semula. Di Perancis ia adalah satu kesilapan kerana kami berpeluang untuk meraih kemenangan 1-2,” kata Shovlin.
Hasil keputusan tersebut membolehkan Verstappen mengatasi Hamilton dengan kelebihan 12 mata menuju dua perlumbaan yang menjadi ‘tuan rumah’ buat pasukan Red Bull di Austria pada 27 Jun dan 4 Julai nanti. – AGENSI