TIDAK seperti Mysterio (Jake Gyllenhaal) yang teruk dikecam peminat Taylor Swift, Loki atau Tom Hiddleston pula menjadi dambaan ramai sebagai seorang lelaki budiman yang jarang bercakap buruk tentang bekas teman wanitanya.
Satu ketika dahulu, sekitar 2016, Hiddleswift (Hiddleston dan Swift) merupakan antara ‘item’ romantik yang dipuja penuh pengharapan. Peminat mahu hubungan mereka bersambung dengan status suami isteri.
Sayangnya perkara tersebut tidak berlaku. Mereka hanya sempat berkasihan selama tiga bulan.
Peminat hanya melihat mereka berdansa bersama di Met Gala dan beberapa kali ditangkap lensa paparazzi ketika berkucupan di pantai dan aksi-aksi kecil lain, selebih itu tidak banyak kisah mereka terakam.
Satu perkara tentang lelaki berusia 40 tahun itu, biarpun tidak lagi bersama Swift, dia tidak pernah bercakap buruk tentang mantan kekasihnya.
Dia mungkin ‘God of Mischief’ di galaksi Asgard, tetapi bukan dalam minda realiti, terutama orang perempuan.
Taylor Swift wanita hebat
“Taylor Swift seorang wanita yang hebat. Dia pemurah, baik hati dan penyayang.
“Secara psikologinya, saya perlu jadi begitu kuat untuk tidak membiarkan orang lain punya terjemahan dan kesan terhadap hidup saya,” katanya dalam satu wawancara yang dimuat naik dalam YouTube, Clevver News.
Hiddleston tidak pernah kesal memiliki sejarah percintaan dengan Swift. Katanya: “Kadang-kadang, anda perlu berperang untuk cinta. Kadang-kadang, anda perlu melepaskannya.”
Dalam satu wawancara bersama Today Show, pemilik nama lengkap, Thomas William Hiddleston itu menegaskan, dia sudah cukup memberi gambaran kepada orang ramai bahawa apa yang dikerjakannya dalam bidang lakonan, adalah segala-galanya buat peminat.
Namun aspek kehidupan peribadinya, bukan untuk perkongsian umum.
“Anda tak boleh gelar diri seorang pelakon kalau tidak berasa terhutang budi kepada audiens, namun kehidupan peribadi saya adalah bersifat peribadi,” getusnya.
Sedikit informasi, jika khabar berjisim budaya pop belum sempat singgah ke pengetahuan pembaca, minggu lepas, Gyllenhaal dikecam peminat Swift kerana memperkecilkan antem kasmaran tulisan Swift berjudul All Too Well.
Kisah cinta tidak kesampaian Swift dan Gyllenhaal akhirnya menjemput banyak rasa hormat peminat terhadap si aktor berdarah Inggeris, Hiddleston.
Hiddleston yang cukup sinonim dengan watak Loki kini tampil dalam siri terbaharu yang juga mengambil latar waktu selepas filem Avengers: Endgame.
Penamat Avengers, permulaan Loki
Berkesempatan turut serta dalam sesi sidang media baru-baru ini, Hiddleston berkongsi cerita menarik mengenai transformasi Loki daripada filem ke versi bersiri.
“Saya sangat teruja apabila karakter ini diteruskan dalam bentuk siri. Pada masa sama, ada banyak persoalan bermain dalam fikiran saya kerana awalnya, saya fikir babak Loki dalam Avengers: Infinity War seperti yang terakhir.
“Rasa seperti itu adalah kesimpulan untuk pengakhiran karakter dan kisah Loki.
“Kemudian, apabila Avengers: Endgame ada, Loki muncul merampas Tesseract dan kemudian hilang dalam kepulan asap. Ke mana, bila dan bagaimana dia menghilang,” ujarnya.
Tambah Hiddleston, ‘penamat’ itu sesuatu yang positif, namun sebenarnya satu permulaan untuk karakter Loki.
“Saya diyakinkan oleh tiga penerbit eksekutif iaitu Kevin R Wright, Louis D’Esposito dan Victoria Alonso bahawa itu adalah permulaan untuk siri ini. Ada pelbagai kemungkinan akan berlaku dan boleh difikirkan.
“Di situ saya bertemu dengan ramai orang yang datang dengan pelbagai idea menarik, sekali gus menjadikan pembikinan siri ini sesuatu yang menyeronokkan,” katanya.
Bercakap mengenai Loki dalam siri berkenaan, Hiddleston menggambarkan lelaki itu satu karakter yang sangat berbeza daripada pelbagai aspek.
“Apa yang saya suka, siri ini ‘membogelkan’ Loki daripada segala aspek yang menjadi kebiasaan atau yang biasa kita lihat dalam karakter terdahulu Loki.
“Thor dan Asgard kini jauh daripadanya. Begitu juga dengan Avengers. Dia sendiri lucutkan semua kuasa dan statusnya.
“Apabila anda ‘memadam’ kesemua aspek yang menjadi identiti Loki dalam enam filem terdahulu, apa yang tinggal?
“Apakah sisi lain dirinya tanpa identiti yang pernah dibawanya,” ujar Hiddleston bersemangat.
Rungkai persoalan
Tambah Hiddleston yang turut berperanan sebagai penerbit eksekutif siri Loki, semua itu bakal jadi persoalan menarik yang bakal dirungkai menerusi naskhah kali ini.
“Apa yang membuatkan Loki menjadi dirinya? Adakah dia dapat menjadi lebih matang? Adakah dia akan berubah?
“Adakah dia akan berubah seperti mana yang dimahukan oleh TVA (pasukan kreatif)? Saya harap, penonton pun akan turut berkongsi keterujaan ini,” katanya.
Hiddleston turut membuahkan pendapat tentang impak Loki terhadap kerjayanya sebagai pelakon yang sudah memasuki usia sedekad.
“Sekitar 10 tahun lalu, saya sendiri pun tak tahu bahawa saya akan membawakan karakter Loki.
“Saya suka bawakan karakter ini. Saya bertuah kerana masih di sini. Setiap kali didalami, ada saja aspek baharu dalam karakter Loki,” katanya.
Dia turut berasakan karakter Loki melangkau jangkaan sendiri.
“Loki satu karakter yang begitu luas, sekali gus tidak membuatkan saya melalui proses yang sama berulang kali,” katanya.
Dia turut gembira kerana berpeluang bekerjasama dengan pasukan hebat dalam merealisasikan Loki versi siri.
Hiddleston berpeluang bekerjasama dengan dengan Kevin, Kate Herron (pengarah dan penerbit eksekutif) dan Michael Waldron (ketua penulis dan penerbit eksekutif), interaksi bersama Owen Wilson (Mobius), Gugu Mbatha-Raw (Renslayer) dan Wunmi Mosaku (Hunter B-15). Katanya, itu pengalaman yang cukup berharga.
“Loki begitu kompleks sehinggakan setiap kali Loki hadir dengan benda baharu, saya sampai terfikir, adakah ini karakter komedi kerana ada banyak kejutan.
“Satu pengalaman menarik sepanjang saya berada dalam Marvel dan enam filem terdahulu.
“Yang pasti, kali ini, Mobius ialah orang yang pakar dan tahu segala-galanya mengenai Loki.
“Dia mengenali Loki lebih mendalam berbanding Loki tahu mengenai dirinya sendiri,” katanya menggulung bicara.