PETALING JAYA – Lagenda Properties Bhd. (Lagenda Properties) melalui anak syarikatnya, LPB Development Sdn. Bhd. telah memeterai perjanjian pembelian dan penjualan tanah seluas 200 hektar di Kuantan, Pahang secara tunai bernilai RM33 juta.
Pemilikan tanah tersebut adalah untuk membangunkan projek bandar baharu lengkap dengan hartanah kediaman mampu milik pelbagai jenis seperti rumah teres satu tingkat, rumah berkembar, rumah kedai dan pejabat serta pelbagai kemudahan lain untuk memenuhi keperluan komuniti setempat.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Jimmy Doh berkata, nilai pembangunan kasar (GDV) untuk projek tersebut adalah RM1 bilion dan menjangkakan bakal disiapkan menjelang tahun 2023.
“Pembelian tanah di kawasan strategik ini adalah sebahagian daripada usaha Kumpulan untuk meluaskan rangkaian pasarannya ke seluruh Malaysia sebagai usaha mengukuhkan pertumbuhan jangka panjang.
“Ini akan direalisasikan melalui usaha Kumpulan mencari bank tanah bersesuaian yang dijangka mendapat permintaan tinggi untuk projek hartanah mampu milik yang ditawarkan berharga di bawah RM200,000 serta lengkap dengan kemudahan infrastruktur,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Lokasi bandar baharu ini terletak lebih kurang 16 kilometer dari selatan Kuantan dan mudah diakses melalui Gambang dan Lebuh Raya Kuantan.
Ia juga terletak berdekatan dengan Pusat Latihan Pertanian Kuantan, Jabatan Penjara Penor, Kolej Islam Pahang dan Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajjah Kalsom serta kemudahan sekolah.
“Seiring dengan strategi pemilikan tanah sebelum ini, kos untuk membeli tanah adalah sekitar tiga hingga empat peratus daripada GDV dan ia akan membolehkan Lagenda Properties mencatat keuntungan margin antara 25 hingga 30 peratus.
“Untuk beberapa tahun akan datang, kami begitu teruja untuk melancarkan projek perumahan bandar baharu berkonsepkan mampu milik yang ketiga dan keempat iaitu masing-masing di Tapah dan Sungai Petani pada tahun ini dan juga tahun depan.
“Cadangan bandar baharu di Kuantan merupakan projek yang akan memberi pulangan kepada Kumpulan untuk lima tahun akan datang,” terangnya.