CYBERJAYA – Pemohon rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) di Sabah dan Sarawak boleh mengemukakan borang dan semua dokumen sokongan berkaitan permohonan rayuan BPR melalui kemudahan kotak serahan (drop box).
Kemudahan itu disediakan di pejabat cawangan, pejabat satelit dan pusat khidmat hasil (PKH) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta di pejabat-pejabat daerah berhampiran.
LHDN dalam satu kenyataan berkata, kemudahan kotak serahan itu akan disediakan sehingga tarikh akhir permohonan rayuan BPR iaitu pada 30 Jun ini.
“Inisiatif ini diambil bagi memudahkan pemohon rayuan BPR di Sabah dan Sarawak yang mempunyai kesukaran untuk membuat permohonan rayuan secara dalam talian sekali gus dapat membantu mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 kerana larangan merentas daerah.
“Melalui kaedah ini, pemohon hanya perlu meletakkan borang rayuan BPR yang lengkap berserta semua dokumen sokongan berkaitan ke dalam kotak serahan yang disediakan mengikut waktu operasi pejabat-pejabat yang dinyatakan di atas,” katanya di sini hari ini.
LHDN berkata, pemohon diingatkan agar memasukkan borang dan dokumen sokongan rayuan BPR di dalam sampul atau mencantumkannya dengan kemas terlebih dahulu sebelum meletakkannya ke dalam kotak serahan tersebut.
“Ini bagi memastikan borang dan dokumen yang diserahkan teratur dan tidak bercampur dengan borang rayuan pemohon lain,” katanya.
Katanya, waktu operasi kaunter permohonan rayuan BPR dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 adalah melalui janji temu di portal rasmi BPR sahaja dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari pada hari bekerja.
Sebarang pertanyaan atau maklum balas juga boleh diajukan kepada LHDN melalui talian Hotline BPR di talian 1800-88-2747, HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-MY/. -K! ONLINE