SEVILLA – Sepanyol akhirnya melakar kemenangan pertama pada saingan Euro 2020 selepas membelasah Slovakia 5-0 dalam aksi terakhir Kumpulan E di Stadium La Cartuja sebentar tadi.
Kemenangan itu sekali gus memastikan skuad kendalian Luis Enrique melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik sebagai naib juara kumpulan selepas mengumpul lima mata menerusi satu kemenangan dan dua seri.
Jentera serangan Sepanyol yang diketuai Alvaro Morata, bagaimanapun dilihat kurang menyengat pada awal saingan, lebih-lebih lagi selepas Morata gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-11.
Bagaimanapun, La Roja mendapat gol yang dinanti-nantikan apabila penjaga gol Slovakia, Martin Dubravka menumbuk masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-30 selepas percubaan Pablo Sarabia terkena palang.
Gol tersebut nyata menaikkan semangat pemain-pemain Sepanyol yang terus ghairah memburu gol kedua dan Aymeric Laporte menggandakan kedudukan selepas menanduk masuk hantaran Gerard Moreno pada penghujung separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Sepanyol semakin mengganas apabila Sarabia menjadikan kedudukan 3-0 selepas bijak menolak masuk hantaran Jordi Alba pada minit ke-56.
Pemain gantian, Ferran Torres yang masuk pada minit ke-67 tidak menunggu lama apabila menjaringkan gol keempat Sepanyol selepas menerima hantaran pertama pada perlawanan itu.
Jaringan itu nyata membunuh semangat juang Slovakia apabila mereka dilihat membenarkan Sepanyol bermain hantaran-hantaran pendek serta menguasai bahagian tengah padang.
Juara Piala Dunia 2010 itu kemudiannya melengkapkan kemenangan bergaya 5-0 apabila pemain tengah Slovakia, Juraj Kucka menjaringkan gol sendiri pada minit ke-71 selepas tertampan percubaan oleh Pau Torres masuk ke gawang. – K! ONLINE