LONDON – Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) menarik nafas lega apabila kerajaan England membuat pusingan ‘U’ dengan membenarkan seramai 60,000 hadir pada aksi separuh akhir dan final saingan Euro 2020 yang akan berlangsung pada awal bulan depan.
Sebagai rekod, kehadiran penyokong ke Stadium Wembley pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini dihadkan kepada 22,500 penonton sahaja ekoran arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh kerajaan tempatan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Namun, selepas mendapat kecaman selain cadangan untuk menukar venue separuh akhir dan final di negara lain, England akhirnya akur dengan melonggarkan sedikit SOP yang telah ditetapkan sehingga menyaksikan jumlah kapasiti penonton di Wembley meningkat kepada 75 peratus.
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin berkata, saingan Euro 2020 telah menjadi permulaan dalam usaha membuka mata warga antarabangsa bahawa kehidupan normal sebelum penularan Covid-19 boleh direalisasikan semula.
“Ini adalah berita yang cukup positif bagi penyokong bola sepak antarabangsa kerana kita akan menyaksikan tiga lagi perlawanan epik di Stadium Wembley dengan kapasiti 75 peratus atau maksimum 60,000 penonton selepas ini.
“Sejak penularan Covid-19 disahkan pada Januari tahun lalu, dunia berdepan kesukaran terutama arena sukan antarabangsa tetapi saingan Euro 2020 menjadi penanda aras bahawa kehidupan boleh menjadi seperti sedia kala dan dalam masa yang sama, menjamin keselamatan penonton,” katanya.
Antara syarat yang diletakkan oleh kerajaan England adalah memastikan setiap penyokong yang hadir ke stadium perlu mengesahkan ujian calitan yang negatif atau sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19. – AGENSI