TOKYO – Presiden Olimpik Tokyo, Seiko Hashimoto mempertahankan keputusan membenarkan kehadiran 10,000 penyokong tempatan untuk menyaksikan temasya Sukan Olimpik pada Julai ini meskipun mendapat bantahan.
Bagaimanapun, Hashimoto menegaskan, penonton yang akan hadir menyaksikan temasya terbesar dunia itu tidak boleh mengharapkan suasana seperti yang disaksikan di Euro 2020 dan perlu mengikuti peraturan ditetapkan.
Antara garis panduan yang perlu dipatuhi penonton adalah tiada penjualan alkohol, tiada pelukan, sorakan dan juga tidak ada sesi autograf dibenarkan pada temasya itu nanti.
“Di Eropah, stadium dipenuhi penonton, tetapi sayangnya kami tidak boleh melakukan hal serupa.
“Menganjurkan kejohanan ini tanpa penonton akan mengurangkan risiko, tetapi kami akan melakukan persiapan terbaik untuk menjamin keselamatan penonton.
“Dalam pada itu, mengikut nasihat pakar, kami memutuskan untuk tidak membenarkan penjualan minuman beralkohol,” kata Hashimoto.
Antara garis panduan yang perlu dipatuhi pengunjung adalah pemakaian pelitup muka sepanjang masa, larangan menjerit serta perlu meninggalkan venue selepas acara berakhir secara berperingkat. – AGENSI