PETALING JAYA – Meskipun anjing adalah binatang garang, liar serta boleh mengancam keselamatan, namun ia sesekali tidak menggerunkan seorang gadis apabila dilihat menyantuni haiwan itu.
Tindakan berani wanita beragama Islam itu turut menjadi perhatian ramai apabila dia kelihatan ‘menjamu’ makan beberapa ekor haiwan tersebut di kawasan terbuka.
Perbuataannya itu menjadi tular dan ramai netizen memuji sikap wanita itu yang dilihat amat menyanyangi haiwan walaupun anjing adalah binatang yang tidak digalakkan dibela oleh umat Islam.
Menerusi klip video yang dikongsi di laman Facebook Malaysia Bertuah, kelihatan wanita tersebut sedang meletakkan makanan di satu kawasan sebelum enam ekor anjing makan makanan tersebut.
Walaupun kelihatan sedikit takut ketika dihampiri haiwan itu, namun atas dasar tanggungjawab dan ihsan pada haiwan, gadis itu telah memberanikan diri membantu anjing yang dilihat sedang kelaparan itu.
“Subhanallah, terbaik dik, beginilah caranya menyayangi binatang yang haram disisi islam.
“Jaga jarak tetapi masih memberi makanan kerana kasih sesama mahluk Allah. Semoga Allah S.W.T lancarkan rezeki adik ini seperti mana air yang mengalir,” tulis Malaysia Bertuah pada hantaran itu hari ini.
Sementara itu, rata-rata netizen memuji sikap gadis tersebut yang tidak segan membantu haiwan itu dan mereka mendoakan agar gadis itu dilimpahkan rezeki.
“Alhamdulilah doakan Allah bagi ganjaran di dunia dan akhirat,” komen Hariah Mohd. Baki pada ruangan komen.
Pada masa sama, netizen turut berkongsi beberapa kisah sama menyantuni haiwan liar itu dan mereka turut menyatakan bahawa anjing adalah haiwan yang cerdik dan mudah faham dengan arahan manusia.
“Saya pun buat gitu juga, panggil makan pastu cakap tunggu jap. Dah letak makanan saya beredar depa mai mkn, anjing ni depa mudah faham dan ingat,” ujar Dila Dil.-K! ONLINE.