PETALING JAYA – Disaat pandemik melanda seluruh negara ketika ini, ramai yang sedang diuji dengan pelbagai masalah.
Ini termasuklah kisah seorang lelaki warga emas yang terpaksa ‘menjual’ telefon bimbit bagi meneruskan kehidupan seharian.
Kisah menyayat hati warga emas itu dikongsi seorang netizen di laman Facebook dikenali sebagai Kupit Fir.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku semalam ketika dia yang juga penjaja di tepi jalan baru memulakan perniagaan.
“Pagi tadi waktu nak bukak khemah berniaga lalulah seorang pakcik ni berjalan sambil menunduk, tergerak hati ini nak tegur, kemana pakcik, nak beli air?
“Pakcik tu bagi tahu dia mencari kedai ‘handphone’ kerana nak menjual telefon bimbitnya.
“Dia beritahu dah empat kali dia pergi bank menantikan duit bantuan, tapi tak masuk- masuk lagi, buntu dengan duit tak ada jadi dia mencari kedai ‘handphone’ untuk menjualnya,” katanya di laman Facebook.
Menurut Kupit Fir, lelaki tersebut baru selesai menjalani pembedahan dan bekas jahitan di perutnya masih merah lagi.
“Ya Allah tuhan menguji saya, rupanya ada orang susah ada orang tak makan, ada orang tak tahu kepada siapa dia nak mengadu bantulah mereka,” ujarnya.
Sementara itu, rata-rata netizen mendoakan agar lelaki itu cepat sembuh dan mendoakan agar dia sentiasa dimurahkan rezeki.
“Semoga Allah murahkan rezeki kepada penderma dan semoga pakcik cepat sihat dan murah rezeki, amin,” tulis Saiful Anuar Arshad di ruangan komen.-K! ONLINE.