JAKARTA – Seorang lelaki di Indonesia bertindak mencabut atap rumah bekas isterinya selepas mereka sah bercerai sebagai persetujuan pembahagian harta sepencarian, lapor beritajatim.com, semalam.
Kejadian berlaku di Desa Carangrejo, Kabupaten Ponorogo, Jawa Timur apabila si isteri bernama Anjar yang pulang ke kampung selepas enam bulan bekerja di Hong Kong meminta cerai dari suaminya, Agus.
Sebaik sahaja disahkan bercerai, mereka berdua menemui kata sepakat tentang bagaimana hendak membahagikan harta sepencarian sepanjang berkahwin selama 10 tahun.
“Agus cuma mahukan kayu yang menjadi atap rumah kelamin mereka kerana itu adalah milik orang tuanya.
“Jadi, kerja-kerja mencabut atap dijalankan di rumah tersebut tanpa diganggu bangunannya kerana tapak tanah milik ibu bapa Anjar,” kata Setiausaha Desa Carangrejo, Juweni.
Tambah Juweni, dia tidak pasti apakah alasan sebenar pasangan itu bercerai namun menurutunya, Agus adalah suami yang baik malah menjaga kebajikan bapa mentuanya ketika Anjar bekerja di luar negara.
“Pihak pentadbiran desa cuma laksanakan tugasan yang diamanahkan iaitu mencabut atap rumah seperti yang dipersetujui.
“Hal-hal lain, kami tidak mahu masuk campur lagipun mereka berpisah dengan cara baik,” ujar Juweni lagi. – Agensi