KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 29 Jun ini bagi menyambung perbicaraan kes berprofil tinggi melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perbicaraan di hadapan Hakim Lawrence Collin Sequerah itu ditetapkan didengar selama dua hari sebaik sahaja pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dijangka tamat pada 28 Jun ini.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu pihak media, kes itu sepatutnya ditetapkan untuk sambung bicara pada 21 Jun
lalu namun ditangguhkan ekoran pelaksanaan PKP.
Ujarnya, mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan selama tiga hari iaitu pada 28, 29 dan 30 Jun namun oleh kerana PKP 3.0 dilanjutkan hingga 28 Jun, maka perbicaraan akan bermula pada esoknya.
Hakim bicara dijangka mendengar pemeriksaan balas peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed terhadap saksi pendakwaan ke-10, Mohd. Hazem Abdul Rahman yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.
Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – K! ONLINE