fbpx

Belum rezeki buat JDT – Mora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERGSON (kanan) mengejar bola sambil cuba dihalang oleh pemain pertahanan Nagoya, Shumper Naruse pada saingan Kumpulan G, ACL di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam kelmarin. – JOHOR SOUTHERN TIGERS

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menganggap skuad Harimau Selatan belum ada rezeki setelah tewas 0-1 kepada Nagoya Grampus pada aksi pertama Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand malam kelmarin.

Pengendali kelahiran Mexico itu berkata, pemain sudah memberikan persembahan terbaik bagi menyaingi kehebatan kelab dari Jepun itu, namun gagal me­ngubah keputusan perlawanan.

Biarpun tewas, Mora mengambil positif keputusan perlawanan tersebut yang dilihat sebagai satu permulaan baik dalam sai­ngan ACL tahun ini.

“Nagoya adalah satu pasukan kuat dan memberikan tekanan hebat kepada JDT hingga kami tidak mampu mengatur permainan, ia situasi yang sukar.

“Bagaimanapun, saya bangga dengan pemain kerana mereka bermain bermati-matian dan memberikan segalanya sehingga minit terakhir permainan dalam perlawanan yang sukar itu.

“Namun, malangnya kami bolos satu gol. Saya fikir ini adalah permulaan baik meskipun kami tahu ini akan menjadi aksi sukar, namun kami mencuba sebaik mungkin,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, jaringan tunggal Hiroyuki Abe pada minit ke-60 cukup untuk me­ranapkan hasrat Harimau Selatan bagi membawa pulang satu mata.

Tersentak dengan jaringan itu, JDT cuba bangkit memburu gol penyamaan, namun berdepan kesukaran menembusi benteng ampuh pasukan kendalian ­Massimo Ficcadenti.

Pada minit akhir permainan, Bergson berjaya menjaringkan gol, namun jaringan itu dibatalkan pengadil dari Emiriah Arab Bersatu, Mohamed Abdulla Hassan susulan pemain import kelahiran Brazil itu mengasari pertahanan Nagoya Grampus.

Mora berkata, mereka mencuba pelbagai cara untuk me­ngubah keputusan perlawanan dengan beberapa kali mengubah taktikal dan formasi permainan.

“Kami mengubah formasi, corak permainan dua atau tiga kali, malah mempunyai satu atau dua peluang, tetapi sayangnya kami gagal melakukannya.

“Mereka bermain sebagai satu unit yang teratur dan benteng pertahanan mereka sangat padat serta sukar dibolosi. Mereka juga agak agresif dan kami tidak mempunyai ruang untuk membina serangan seperti dimahukan,” ujarnya.

JDT akan berentap dengan pasukan Thailand, Ratchaburi FC bagi aksi kedua Kumpulan G pada Jumaat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI