PETALING JAYA – Seramai 6,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka menerima suntikan vaksinasi melalui program Vaksinasi Bergerak Mymedic@Wilayah.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif itu dilakukan untuk meningkatkan tahap kesiapsagaan anggota PDRM dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada mereka yang bertugas sebagai pasukan barisan hadapan dan golongan berisiko dijangkiti serta ahli keluarga mereka.
“Bagi memastikan warga Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mencapai sasaran imuniti kelompok seawal Ogos ini, pihak Kementerian meneruskan pelaksanaan fasa kedua Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah yang melibatkan golongan individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19 termasuk petugas barisan hadapan.
“Fasa kedua ini melibatkan pusat penempatan anggota PDRM di taman perumahan Desa Aman dan Desa Tasik dengan kapasiti 600 dos vaksin sehari bagi setiap lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, Kementerian Wilayah Persekutuan mensasarkan 40 trak bagi program tersebut dengan 33,000 suntikan vaksin sehari di WP Kuala Lumpur termasuk Putrajaya dan Labuan.
“Sasaran itu mampu dicapai menerusi pertambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega selain PPV di klinik dan hospital swasta serta vaksinasi melalui Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah,” ujarnya. – K! ONLINE