OTTAWA, KANADA – Seorang ibu mendedahkan dirinya sering disalah anggap masih remaja kerana memiliki wajah keanak-anakan, lapor akhbar The Sun, semalam.
Valeria Lipovetsky, 30, yang mempunyai tiga anak berkata, kebanyakan orang yang tidak mengenalinya sering menyangka dia masih remaja dan kakak kepada anak lelakinya.
“Saya menerima banyak komen yang mengatakan bahawa saya kelihatan seperti remaja berusia 17 tahun.
“Percayalah, saya sudah berusaha untuk kelihatan lebih tua,” katanya dalam satu hantaran di TikTok .
Kenyataan Lipovetsky itu bagaimanapun menerima komen sinis daripada netizen yang mengatakan dia kelihatan sama seperti usia sebenarnya.
“Maafkan saya, tetapi awak kelihatan seperti berusia 33 tahun,” tulis seorang pengguna.
“Saya sangkakan awak berumur 30 tahun. Saya tidak menipu,” tulis seorang lagi pengguna.
Lipovetsky bagaimanapun tidak mengendahkan komen-komen negatif tersebut, sebaliknya berkongsi rahsia awet muda kepada 1.3 juta pengikutnya.
Antaranya adalah menari setiap hari, mengikuti rejim penjagaan kulit yang ketat, mandi dengan air sejuk pada setiap malam untuk meningkatkan aliran darah dan mendapatkan tidur yang cukup. – AGENSI