CUIABA – Ketua jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez mendedahkan bahawa beliau mengenalpasti beberapa aspek penting yang perlu diberi penekanan oleh pasukannya selepas sekadar terikat 1-1 menentang Chile di Arena Pantanal pagi semalam.
Menurutnya, perubahan dan penambahbaikan berkenaan perlu diberikan perhatian segera untuk memastikan mereka mampu terus menjadi pencabar kejuaraan pada saingan Copa America 2021 kali ini.
“Saya berpuas hati apabila banyak kali dalam perlawanan ini kami berjaya memperdayakan pemain lawan dan melakukan serangan yang baik.
“Namun, aksi kali ini juga kami mendapati ada beberapa perkara lagi boleh tambah baik untuk memburu kemenangan pada aksi seterusnya.
“Aksi 10 minit terakhir perlawanan sedikit membuatkan saya risau apabila kami seperti sudah tidak mahu bermain dan ia bukanlah Uruguay yang saya kenal. Saya fikir ini tidak boleh berulang pada aksi seterusnya,” jelasnya.
Uruguay kini berada di kedudukan keempat daripada lima pasukan Kumpulan A apabila hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan selepas tewas kepada Argentina pada aksi pertama.
Mereka bakal berdepan Bolivia pada aksi seterusnya dan perlu mencari mata penuh sebelum aksi terakhir bertemu Paraguay selain perlu memastikan mereka berada dalam kelompok empat pasukan untuk layak ke suku akhir. – AGENSI