Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menghamburkan pujian kepada pemain JDT yang beraksi dengan baik biarpun tewas tipis 0-1 kepada Nagoya Grampus pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam kelmarin.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu turut menyuarakan kekecewaan apabila jaringan Bergson Da Silva pada minit akhir perlawanan dibatalkan sekali gus meranapkan peluang Harimau Selatan untuk mengutip mata pada perlawanan itu.
Jelasnya, keputusan perlawanan itu tidak menjejaskan semangat juang pemain yang akan meneruskan perjuangan dalam saingan ACL.
“Kami bermain dengan baik, sayangnya gol dibatalkan. Apa-apa pun, syabas kepada semua pemain dan terima kasih kepada semua penyokong bola sepak tanah air yang memberi sokongan. Kita akan terus berjuang bersama-sama,” katanya menerusi hantaran di Instagramnya selepas perlawanan tamat.
Pada perlawanan itu, jaringan tunggal Hiroyuki Abe pada minit ke-60 sudah cukup untuk memberikan tiga mata berharga buat kelab dari negara matahari terbit itu.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad bimbingan Benjamin Mora cuba untuk bangkit bagi mencari gol penyamaan, namun berdepan kesukaran menembusi benteng ampuh pasukan kendalian Massimo Ficcadenti.
Pada minit akhir permainan, Bergson berjaya menjaringkan gol penyamaan namun malangnya jaringan itu dibatalkan oleh pengadil dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohamed Abdulla Hassan apabila mendapati pemain import kelahiran Brazil itu mengasari pertahanan Nagoya Grampus dan keputusan kekal ke wisel penamat.
JDT akan berentap dengan pasukan Thailand, Ratchaburi FC bagi aksi kedua Kumpulan G pada Jumaat ini. – K! ONLINE