JOHOR BAHRU – Negeri Johor bakal menjadi negeri pertama yang membuka semula sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 Ogos ini selepas ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan agar sidang DUN disambung semula dan baginda juga berkenan untuk berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.
Baginda bertitah, semua wakil rakyat di negeri ini perlu bersatu hati dan bersidang demi kepentingan rakyat dan negeri Johor.
“Saya mahu semua Ahli Dewan bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan Negeri Johor, terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi negeri Johor dengan sebaiknya.
“Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat yang dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang ini.
“Saya juga kecewa kerana sehingga hari ini, masalah penularan virus Covid-19 masih belum dapat diselesaikan,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) di sini hari ini.
Baginda bertitah demikian selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Penasihat Undang-Undang Johor, Amir Nasruddin, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Sultan Johor turut berkenan menerima menghadap Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu bagi mendapatkan laporan keadaan terkini pandemik Covid-19 di Johor.
Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan baginda bahawa Parlimen dan sidang DUN negeri perlu bersidang segera bagi membolehkan perbincangan dilakukan dalam menyelesaikan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini.- K! ONLINE