KUANTAN – Tindakan sesetengah penerima vaksin yang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tidak mengikut masa janji temu menyebabkan berlaku kesesakan di PPV Wisma Belia di sini hari ini.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! mendapati berlaku kesesakan di PPV berkenaan apabila kerusi disediakan tidak mencukupi sehingga memaksa orang ramai berdiri di luar khemah di bawah terik matahari.
Sukarelawan, Razif Mohammad, 38, berkata, berlaku pertindihan dalam kehadiran penerima vaksin di PPV apabila ada penerima yang hadir tidak mengikut masa janji temu ditetapkan.
“Kita dapati ada sesetengah penerima vaksin yang sepatutnya masa janji temu mereka pada tengah hari dan petang tetapi hadir ke PPV pada waktu pagi dan keadaan ini menyebabkan kesesakan di PPV.
“Keadaan itu sedikit sebanyak akan mengganggu proses vaksinasi malah ada segelintir mereka menyalahkan petugas termasuk sukarelawan apabila berlaku kelewatan,”katanya di sini, hari ini
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asistan Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali ketika ditemui mengakui berlaku masalah kehadiran tidak mengikut waktu janji temu di PPV berkenaan.
Katanya, ada penerima yang hadir terpaksa berdiri kerana kerusi yang disediakan tidak mencukupi namun perkara ini sudah diambil perhatian dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa. -K! ONLINE.