BUDAPEST – Juara bertahan, Portugal tiada pilihan lain selain perlu menewaskan Perancis dalam aksi terakhir Kumpulan F, Euro 2020 selepas berada di ambang penyingkiran susulan kekalahan 2-4 mereka kepada Jerman Ahad lalu.
Meskipun memulakan kempen Kumpulan F dengan penuh bergaya selepas membenam Hungary 3-0, namun sekuad kendalian Fernando Santos tersebut dalam situasi bahaya apabila kini berkongsi tiga mata bersama Jerman.
Bagaimanapun, skuad kendalian Joachim Low mempunyai kelebihan dari sudut rekod pertemuan susulan kemenangan 4-2 di Munich, sekali gus meletakkan tekanan buat skuad disertai Cristiano Ronaldo.
Jurulatih Portugal, Santos menegaskan, mereka masih berpeluang mara ke pusingan kalah mati Euro 2020, namun menuntut anak-anak buahnya itu melupakan episod malang ketika tewas kepada Jerman.
“Kami perlu mengkaji semula kekalahan kepada Jerman sebelum ini dan sekarang apa yang perlu dilakukan adalah pemain melupakan kekecewaan tersebut.
“Mereka kini mempunyai perlawanan penting menentang Perancis selepas ini,” kata Santos.
Sementara itu, pemain tengah Portugal, Joao Moutinho berharap mereka dapat tampil lebih baik dan kompetitif sekali gus mencerahkan peluang mereka ke pusingan seterusnya.
“Perlawanan seterusnya berdepan Perancis pasti sangat sukar. Apa yang saya boleh katakan kami akan bermain sebaik mungkin untuk memastikan tiga mata menjadi milik Portugal.
“Harapan saya adalah ingin perbaiki imej pasukan dalam saingan kali ini,” tegas Moutinho. – AGENSI