BUDAPEST – Jurulatih Perancis, Didier Deschamps dilihat masih belum berpuas hati dengan jentera serangan mereka selepas dikritik sangat tumpul apabila sekadar seri 1-1 ketika berdepan Hungary, Sabtu lalu.
Meskipun dibarisi bintang utama seperti Karim Benzema, Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann, namun impak mereka masih belum menjadi sepenuhnya selepas masing-masing hanya menjaringkan satu gol.
Justeru, Deschamps berharap beliau dapat melihat permainan terbaik daripada jentera serangan skuad Les Bleus menjelang pertembungan terakhir aksi Kumpulan F ketika berdepan penyandang juara, Portugal awal pagi esok.
“Menerusi pengalaman yang ada pada setiap pemain, saya tidak meletakkan sebarang keraguan terutama buat Benzema. Dia juga bermain dengan baik pada perlawanan ini. Benzema juga tahu ramai mengharapkan sentuhan daripadanya.
“Apa yang diperlukan oleh setiap penyerang adalah menjaringkan gol pertama. Benzema dan Mbappe mempunyai peluang tersebut dan saya yakin mereka akan berusaha lebih baik selepas ini,” kata Deschamps.
Pada pertembungan dengan Portugal, Deschamps turut mengakui pihaknya akan kehilangan khidmat Ousmane Dembele untuk baki saingan Euro 2020 selepas mengalami kecederaan lutut. Kekosongan yang ditinggalkan Dembele akan diisi oleh Adrein Rabiot.
Perancis ketika ini mendahului carta Kumpulan F dengan empat mata menjelang perlawanan terakhir menentang Portugal meskipun diikat 1-1 dengan pasukan di tangga terbawah, Hungary di Budapest sebelum ini. – AGENSI