fbpx

LTSAAS Subang perlu kekal milik kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LTSAAS Subang

PETALING JAYA – Khabar angin mengenai isu pengambilan alih Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) adalah suatu yang mendukacitakan serta dikesali sekiranya ia dibenarkan berlaku, tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Menurut beliau, LTSAAS Subang adalah aset strategik yang sangat bernilai dan merupakan milik sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan rakyat mempunyai kepentingan terus melalui beberapa GLC seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan sebagainya.

“Cadangan penjualan atau pajakan kepada satu syarikat swasta kepunyaan beberapa individu yang kaya-raya adalah bertentangan dengan kepentingan nasional.

“Ramai yang lupa bahawa LTSAAS Subang adalah satu-satunya lapangan terbang paling hampir dengan Kuala Lumpur dan beberapa bandar raya besar lain seperti Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya.

“Kita telah lama kehilangan Lapangan Terbang Sungai Besi yang sangat strategik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, jika berlaku kecemasan nasional, LTSAAS adalah satu-satunya lapangan terbang terdekat untuk operasi kecemasan, bantuan kemanusiaan dan evakuasi.

Menurutnya, disebabkan oleh kepentingan strategik tersebut, LTSAAS harus kekal menjadi aset milikan kerajaan.

“Kedua, apa jua cadangan yang diterima oleh kerajaan, wajar disertai dengan ketelusan. Jelaskan dengan terperinci dan terus terang rancangan mereka kerana rakyat berhak tahu. Rakyat adalah pemegang taruh LTAAS Subang.

“Ketiga, jangan mudah terpedaya dengan idea pembongkaran potensi LTAAS Subang oleh syarikat swasta. Apalagi bila ia lebih berorientasi pembangunan hartanah. Rencana korporat senantiasa elok di atas kertas tetapi tidak dalam pelaksanaan,” katanya.

Mohamad berkata, Lapangan Terbang Senai terlepas dari pegangan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dalam tahun 2003 dengan janji bahawa Senai akan memberi persaingan yang hebat kepada Changi, Singapura.

Selepas 17 tahun, ujarnya, Senai terus jauh ketinggalan dari Changi daripada semua segi.

“Keempat, saya difahamkan bahawa satu taklimat kepada Perdana Menteri oleh MAHB telah dibuat. Pelan Subang Airport Regeneration oleh MAHB sangat wajar dipertimbangkan demi kepentingan nasional dan keselamatan negara,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI