fbpx

Lelaki lari dari polis hadapi empat pertuduhan termasuk bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Adlin (dua dari kiri) berdepan empat pertuduhan termasuk bunuh di George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pekerja pembersihan yang ditahan selepas melarikan diri dari sekatan polis dengan kereta sehingga menyebabkan kematian baru-baru ini didakwa dengan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh, Mohamad Adlin Abd. Rahman, 46, didakwa membunuh Teoh Kar Hin, 61, di Jalan Perak di sini sekitar pukul 6.45 pagi hingga 6.50 pagi pada 15 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan seleas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani.

Sementara itu di mahkamah sama, Mohamad Adlin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghalang empat anggota polis ketika menjalankan tugas penjawat awam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di persimpangan lampu isyarat Jalan Perak-Jalan P. Ramlee hingga ke Jalan Batu Uban 2 di antara 6.45 pagi dan 7.25 pagi pada hari yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Bagi pertuduhan berikutnya, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kira-kira pukul 5 petang hari yang sama.

Mohamad Adlin didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan di antara dua hingga tiga tahun.

Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh mengaku tidak bersalah memiliki 12.5 gram heroin berat di Jalan Batu Uban 2 kira-kira pukul 7.20 pagi pada hari yang sama selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang sepuluh sebatan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam R. Puran.

Mahkamah turut menetapkan 12 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.

Terdahulu akhbar baru-baru ini melaporkan, sepasukan polis terpaksa melepaskan tembakan ke atas sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan.

Kereta jenis Perodua Myvi yang disewa lelaki itu dikatakan melanggar seorang warga emas berusia 61 tahun hingga maut ketika cuba melarikan diri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI