PETALING JAYA – Pemberian dos vaksin Covid-19 mencecah jumlah tertinggi apabila seramai 250,529 individu telah divaksin semalam.
Berdasarkan data terkini yang dikongsi oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 di Twitter pagi ini menunjukkan, daripada jumlah tersebut, seramai 190,244 telah menerima dos pertama manakala 60,285 lagi lengkap dos kedua vaksin.
Jumlah tersebut menyaksikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mengekalkan semula kadar pemberian vaksin melebihi 200,000 dos sehari selepas pertama kali mencecah angka tersebut pada 15 Jun lalu.
Data JKJAV juga menunjukkan jumlah pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 setakat semalam ialah sebanyak 6,301,727 dos di seluruh negara.
Isnin lalu, Kosmo! melaporkan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjangkakan lebih 3.2 juta atau 10 peratus daripada penduduk di negara ini akan melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 menjelang pertengahan bulan Julai.- K! ONLINE