fbpx

Kompaun rakyat naik, sektor kilang bila lagi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN, WAKIL BIRO PAHANG

Antara dua darjat? Rakyat berpendapatan tidak menentu tak sampai RM100 sehari dikompaun RM50,000. Kilang berpendapatan RM50 juta sebulan atau RM1.5 juta sehari dikompaun RM10,000. Adilkah?

Itulah hakikatnya yang berlaku. Cerita penjual burger dan penjual colek di Kelantan yang dikenakan notis kompaun sebanyak RM50,000 kerana berniaga melebihi waktu ditetapkan pas­tinya membuatkan masyarakat ‘biasa-biasa’ berasa gentar untuk melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Akibat tindakan itu, peniaga colek berkenaan dilaporkan me­rungut kerana sekalipun pengurangan sebanyak 80 peratus diberikan, dia masih tidak mampu membayar kompaun dengan hasil jualan colek yang tidak mencecah RM100 sehari.

Tidak dinafikan tindakan kompaun yang tinggi ini baik ke­rana memberikan kesan kepada pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat.

Kalau dahulu kompaun RM1,000 dilihat kurang berkesan kerana kadar kompaun itu dilihat agak kecil bagi sesetengah individu. Malah, mereka mampu membayar sambil tersenyum.

Namun, tindakan kompaun yang mencecah RM50,OOO membuatkan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat bertambah baik.

Ketika masyarakat dan peniaga kecil patuh kepada SOP dan peraturan, malangnya sektor perkilangan dan industri dilihat masih lagi menjadi pencetus kepada kluster-kluster baharu.

Kegagalan pihak kilang mematuhi SOP yang ditetapkan menyebabkan kes Covid-19 terus meningkat selari peningkatan kluster berpunca daripada kilang.

Difahamkan, ada kilang yang beroperasi dengan kapasiti pekerja yang melanggar SOP dan ada yang terus beroperasi walaupun terdapat pekerja yang telah disahkan positif Covid-19.

Apa nak dihairankan sesetengah kilang, kompaun maksimum RM10,000 tidak sampai 0.5 peratus daripada pendapatan mereka yang mencecah puluhan dan ratusan jutaan ringgit sebulan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Pembangunan), Datuk Razihan Azharuddin yang mengikuti operasi di kawasan perindustrian Gebeng baru-baru ini berkata, dalam operasi dilakukan, tiga kilang dikenakan kompaun masing-masing berjumlah RM10,000 dan RM1,500 kerana melanggar SOP.

Razihan berkata, nilai kompaun yang rendah berbanding pendapatan harian kilang dipercayai menjadi punca segelintir kilang mengingkari SOP.

Beliau memberitahu, ada sesetengah kilang yang berpendapatan RM50 juta sebulan atau kira-kira RM1.5 juta sehari sehinggakan kompaun yang diberikan tidak dianggap sebagai sesuatu untuk membebankan.

Kesimpulannya, tindakan kompaun mampu mendisiplinkan masyarakat biasa dan peniaga jalanan apabila jumlah kompaun ditingkatkan, namun tidak bagi sektor perkilangan.

Adil rasanya jika kerajaan memikirkan untuk menaikkan kompaun yang lebih tinggi kepada kilang sehingga membuatkan mereka berasa rugi atau tidak mampu membayar bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

Biarlah mereka rasa apa yang rakyat bawahan rasakan ketika ini. Rakyat sudah lama berkorban, tetapi kilang masih berterusan mewujudkan kluster baharu.

Mungkin kompaun RM500,000 atau RM1 juta mampu menggentarkan pihak kilang. Lakukan segera, kerana rakyat sedang menderita. Ketika ini, rakyat tak punya kuasa.

Tunggulah kuasa rak­yat nanti. Bimbang kalau-kalau mereka putuskan sesuatu apabila menjelang hari mereka memangkah undi kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI