TAIPING – Sebuah kilang sarung tangan di sini sanggup membenarkan pekerjanya yang merupakan individu dalam pengawasan (PUS) hadir bekerja sedangkan tindakan itu merisikokan pekerja dengan jangkitan Covid-19.
Perbuatan tersebut dikesan dalam Ops Covid-19 yang dijalankan di kilang-kilang di daerah ini dengan diketuai Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Tindakan tidak bertanggungjawab ini menyebabkan pihak kilang dikenakan kompaun RM10,000 dan RM2,000 kerana membenarkan pekerja terbabit masuk ke kawasan premis berkenaan.
Menurut Mior Farid, kilang tersebut juga dikenakan kompaun RM10,000 selepas didapati kehadiran pekerja melebihi 60 peratus.
“Semakan rekod MySejahtera mendapati pekerja itu merupakan individu yang dikatakan suspek dan berisiko tinggi (jangkitan Covid-19) di mana dia sepatutnya tidak dibenarkan bekerja.
“Tindakan pemilik premis ini sangat tidak bertanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.-K! ONLINE.