KEJUARAAN sulung di pentas antarabangsa ketika memenangi kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Sepanyol di La Nucia Sabtu lalu dijadikan sebagai pembakar semangat oleh beregu campuran negara, Tee Kai Wun-Teoh Mei Xing.
Selepas digandingkan hampir dua tahun, pasangan terbabit akhirnya menikmati kepuasan sebagai juara selepas menewaskan pilihan ketiga kejohanan dari England, Callum Hemming-Jessica Pugh 21-15, 13-21, 21-19.
Kata Kai Wun, mereka langsung tidak menjangka mampu mendapatkan kejuaraan pada kejohanan itu berdasarkan reputasi yang dimiliki gandingan dari Eropah tersebut, selain ia kejohanan kedua mereka dalam tempoh dua tahun.
“Pada perlawanan itu, saya langsung tidak fikir mengenai letih atau tidak kerana fokus utama adalah untuk menang. Memang tidak jangka dapat jadi juara kerana turun bertemu pilihan ketiga kejohanan.
“Saya akui, kami banyak belajar sepanjang menyertai kejohanan ini. Diharapkan pengalaman yang kami timba ini boleh membantu meningkatkan tahap permainan menjelang kejohanan akan datang,” katanya.
Sementara itu, Mei Xing pula tanpa berselindung mengakui belum berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan sepanjang kejohanan itu biarpun berjaya membawa pulang gelaran juara.
Katanya, dia sedia berbincang dengan Kai Wun serta barisan kejurulatihan bagi memastikan corak permainan mereka terus meningkat, sekali gus membuka ruang untuk beraksi pada kejohanan lebih besar.
“Secara jujur, saya tidak puas hati dengan prestasi sendiri pada kejohanan ini walaupun berjaya menjadi juara. Saya harap ini adalah permulaan untuk kami dapatkan lebih banyak gelaran pada masa akan datang,” ujar Mei Xing.