PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Rain dilaporkan meraih keuntungan berlipat kali ganda selepas menjual bangunan miliknya yang dibeli 13 tahun lalu.
Memetik laporan media tempatan Korea Selatan, Rain menjual bangunan enam tingkat miliknya di daerah Cheongdam-dong pada harga 49.5 bilion won (RM181 juta).
Ketika membeli bangunan tersebut pada 2008, penyanyi Love Song itu hanya perlu membayar 16.8 bilion won atau bersamaan RM60.9 juta.
Dalam masa 13 tahun, nilai komersial bangunan berkenaan naik kepada AS$26.4 juta dolar (RM110 juta).
Bagaimanapun, jumlah sebenar keuntungan diperoleh Rain sedikit susut selepas mengambil kira kos ubahsuai yang dilakukannya termasuklah pemotongan harga cukai, pindah milik nama dan komisen broker.
Pakar hartanah mendedahkan, antara faktor yang menyebabkan nilai bangunan tersebut naik mendadak kerana lokasinya yang strategik berdekatan stesen kereta api bawah tanah Cheongdam dan kedai-kedai barangan mewah. – K! ONLINE