MUNICH – Jerman enggan mengambil mudah cabaran Hungary kerana yakin pasukan tersebut bakal memberi masalah kepada mereka pada perlawanan terakhir Kumpulan F, Euro 2020 awal pagi nanti.
Jerman berjaya menghidupkan peluang dalam kempen Euro 2020 apabila bangkit meraih kemenangan bergaya selepas membenam Portugal 4-2 dalam aksi Kumpulan F di Allianz Arena, Munich pada Ahad lalu.
Skuad kendalian Joachim Low dikritik hebat apabila tewas pada perlawanan pembukaan 0-1 kepada Perancis akibat gol sendiri Mats Hummels, kini mempamerkan watak sebenar mereka.
Bagi Low, kemenangan ke atas Portugal adalah wajar dipuji sekali gus memberi peluang kepada Jerman untuk meneruskan kempen Euro 2020.
Kejayaan tersebut sedikit sebanyak memberi motivasi kepada para pemain pasukan berkenaan.
“Kita perlu ingat pertembungan dengan Hungary bukan satu tugas mudah dan boleh menjadi sukar kerana mereka akan turun dengan permainan lebih baik.
“Menerusi perlawanan menentang Portugal, kita melihat pasukan ini memiliki kemampuan yang baik terutama mengawal keseluruhan permainan.
“Ia akan menjadi lebih sukar jika Hungary cuba bermain bertahan dengan meletakkan lapan atau sembilan pemain sebelum melakukan serangan balas.
“Mereka telah tunjukkan pada perlawanan sebelum ini. Ini antara cabaran yang kita akan hadapi nanti,” kata Low. – AGENSI