fbpx

Jangan politikkan isu pengambilan guru ‘one-off’ – Armada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Ashraf

PETALING JAYA – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menyeru semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu pengambilan khas guru secara ‘one-off’ seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini.

Ketua Penerangan Armada, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, isu tersebut perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan tidak mengehadkan pandangan terhadap politik sempit semata-mata.

Katanya, ia juga tidak wajar dijadikan bahan untuk sesetengah pihak mencari perbatuan politik.

“Keputusan Menteri Kanan Pendidikan mengenai pengambilan khas ini adalah bertujuan untuk membuka jalan terhadap isu kekurangan guru yang serius, terutamanya di beberapa buah negeri seperti di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

“Saya menyeru Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas dan tidak mengehadkan pandangan beliau terhadap politik sempit semata-mata.

“Apa yang dilakukan hari ini dapat menjamin masa depan anak-anak pewaris negara kita,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai membalas dakwaan Ahmad Zahid telah membangkitkan beberapa persoalan berkenaan pengambilan khas guru secara “one-off”.

Mengulas lanjut, Mohd. Ashraf berkata, pengambilan khas ini tetap memberi keutamaan kepada graduan pendidikan dan pada masa sama, KPM serta Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) akan bekerjasama mewujudkan kluster opsyen dan akan memberi peluang luas kepada graduan pendidikan.

“Pengambilan graduan bukan daripada bidang pendidikan pula akan dipertimbangkan jika calon berjaya dalam kalangan graduan pendidikan masih tidak mencukupi disebabkan ketidakpadanan opsyen.

“Jadi tidak timbul isu graduan pendidikan disisihkan daripada pengambilan khas ini,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan KPM mengumumkan program pengambilan khas secara one-off melibatkan 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di negara ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, iklan pengambilan khas tersebut akan dikeluarkan pada 7 Julai depan dengan penempatan secara berperingkat akan bermula pada Oktober 2021.

Menurutnya, Pengambilan besar-besaran ini adalah usaha KPM untuk mencapai apa yang telah diletakkan dan dirancang di bawah Pelan Pemulihan Negara dengan cabaran utama kita untuk membawa keluar negara dalam konteks Covid-19 dalam sektor pendidikan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI