SAINT PETERSBURG – Jurulatih Belgium, Roberto Martinez menyarankan bintang pasukan itu, Eden Hazard untuk meningkatkan tahap permainannya pada pusingan 16 pasukan terbaik Euro 2020 nanti.
Hazard yang diturunkan ketika berdepan Finland pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Krestovsky awal pagi semalam menampilkan aksi memuaskan bagi membantu Belgium menang 2-0.
Bagaimanapun, aksi tersebut masih belum mencukupi buat Martinez yang menggesa pemain Real Madrid itu menampilkan aksi lebih baik bagi membawa Belgium mara lebih jauh pada edisi kali ini.
“Dia (Hazard) sentiasa cuba memberikan aksi terbaik serta berada pada kedudukan yang betul sepanjang perlawanan. Saya dapat lihat dia kembali menikmati bermain bola sepak.
“Saya gembira dengan prestasinya apabila berjaya membuatkan benteng pertahanan lawan huru-hara. Mungkin dia perlu perbaiki kualiti dari segi hantaran serta penyudah untuk dapatkan aksi sempurna,” kata Martinez.
Pada perlawanan tersebut, Belgium yang merupakan pasukan No.1 dunia menjaringkan dua gol menerusi penyerang sensasi Inter Milan, Romelu Lukaku serta jaringan sendiri penjaga gol Finland, Lukas Hradecky.
“Pasukan ini sudah menampilkan aksi yang sangat konsisten dalam tempoh lima tahun terakhir, jadi sudah tiba masanya semua pemain berada pada kemuncak masing-masing. Kami perlu bersedia untuk aksi seterusnya,” ujar Martinez. – AGENSI