SEBERANG PERAI – Dua buah kilang di Mak Mandin, Butterworth di sini masing-masing dikompaun RM10,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh hari ini.
Operasi selama lima jam berakhir kira-kira pukul 3 petang itu membabitkan kilang kertas dan pembuatan keluli pembungkus makanan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pemeriksaan pertama di kilang kertas mendapati pemiliknya gagal mematuhi syarat kapasiti 60 peratus pekerja yang dibenarkan semasa PKP.
“Justeru itu, kompaun sebanyak RM10,000 dikenakan atas kesalahan tersebut.
“Bagi kilang kedua pula, kompaun sama dikeluarkan kerana gagal memastikan pekerjanya mengimbas kod QR MySejahtera,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Noorzainy, pada operasi itu, wakil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan tiga notis saman berjumlah RM15,000 ke atas tiga buah kilang lain kerana kesalahan yang dikesan agensi itu.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mendapati tahap pematuhan SOP di kawasan perindustrian di Mak Mandin berada pada tahap memuaskan dan hampir 90 peratus pekerja mengimbas kod QR MySejahtera. – K! ONLINE