fbpx

K2

Bikin video pendek nilai murni sambil isi masa PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAH satu babak video berkaitan nilai-nilai murni yang telah diterima sebagai penyertaan untuk pertandingan video pendek SBNM.

KEHIDUPAN seharian Charlie Anak Kong, 19, banyak dihabiskan bersama rakan-rakan sama ada di dalam mahupun luar sekolah.

Pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Kubong, Limbang, Sarawak itu mempunyai rakan-rakan terdiri daripada pelbagai etnik, kaum dan agama.

Situasi ini menuntut lelaki berkulit cerah itu supaya sentiasa menghormati adat, budaya dan kepercayaan rakan-rakannya yang lain bagi mengelakkan perselisihan faham.

Salah satu cara Charlie meraikan kepelbagaian tersebut adalah dengan turut sama meraikan perayaan yang disambut rakan-rakannya sama ada Pesta Gawai, Hari Raya Aidilfitri atau Tahun Baru Cina.

Begitulah sebaliknya, apabila dia meraikan perayaan Krismas bersama ahli keluarga, rakan-rakannya yang berlainan bangsa dan agama turut datang ke rumahnya untuk sama-sama menyambut perayaan itu.

Bagi menggambarkan keharmonian tersebut, Charlie bersama beberapa rakan sekolahnya sepakat untuk menghasilkan sebuah video pendek berdurasi sekitar tiga minit.

Video berkenaan dihasilkan khusus bagi menyertai pertandingan video pendek Seni Budaya dan Nilai Murni (SBNM) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

JKKN merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya yang bertanggungjawab melaksanakan aktiviti kesenian dan kebudayaan di negara.

ORANG ramai boleh menghasilkan video menggunakan sebarang peralatan dan peranti bersesuaian untuk pembikinan video asalkan video tersebut mempunyai kualiti yang baik untuk penyiaran dalam media termasuk televisyen.-GAMBAR HIASAN

Pertandingan video pendek ini boleh dianggap sebagai satu usaha kerajaan untuk memupuk kembali nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat negara ini yang semakin dilupakan. Pudarnya nilai-nilai murni sesetengah orang dalam masyarakat kini dapat disaksikan dalam kehidupan seharian mahupun di media-media sosial. Penggunaan kata-kata kesat, beraksi kurang sopan dan tidak menjaga sensitiviti anggota masyarakat sering dapat dilihat.

Nilai-nilai murni ditakrifkan sebagai sifat yang baik seperti berbudi bahasa, bersopan-santun, hormat-menghormati, menjaga kebersihan dan sebagainya.

Pertandingan video pendek SBNM yang berlangsung sejak Mei lalu sehingga September ini mempunyai tema berlainan setiap bulan.

Menurut Charlie, dia telah menghantar penyertaan bagi bulan Mei yang bertemakan hormat-menghormati.

“Apabila bercakap mengenai hormat-menghormati, perkara pertama terlintas dalam fikiran saya adalah tentang keharmonian kaum di negeri ini.

“Meskipun hidup dalam kepelbagaian etnik dan agama, namun disebabkan saling menghormati kita hidup secara harmoni,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Charlie memaklumkan, dia menyertai pertandingan itu bukanlah untuk mengejar hadiah kemenangan, sebaliknya lebih kepada peluang berkarya bersama rakan-rakan di samping menyebarkan amalan kebaikan.

Dia menjelaskan, video dihasilkan selama tiga hari itu melibatkan enam orang termasuk tiga pelakon serta selebihnya kru belakang tabir bagi kerja-kerja penyuntingan.

“Pembikinan video ini mengambil masa tiga hari kerana saya perlu menyiapkan skrip serta pemilihan lokasi terbaik. Proses merakam video mengambil masa sehari dengan menggunakan telefon pintar.

“Kami tidak meletakkan harapan tinggi pada pertandingan ini. Ia lebih kepada untuk mengasah bakat sambil memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan nilai murni,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd. Yusop berkata, pihaknya sedar amalan nilai-nilai murni perlu terus dipupuk dan kekal menjadi amalan masyarakat meskipun negara menuju ke arah kemajuan.

Jelasnya, penganjuran pertandingan video pendek SBNM diharap dapat memupuk kembali amalan mulia berkenaan secara tidak langsung sama ada kepada masyarakat atau dalam diri individu.

“Pertandingan video pendek SBNM ini merupakan kesinambungan daripada kempen Budi Bahasa Budaya Kita yang diadakan oleh kerajaan pada tahun 2005. Dari situ, kami rasa terpanggil untuk meneruskannya.

“Tujuan utama pertandingan ini adalah menanam kesedaran masyarakat terhadap amalan nilai-nilai murni serta mewujudkan bangsa yang mempunyai jati diri unggul,” ujarnya.

MESRAN

Mesran berpendapat, sudah tiba masanya masyarakat termasuk generasi muda didedahkan kembali dengan nilai-nilai murni yang pernah menjadi norma kehidupan masyarakat di negara ini sejak sekian lama.

Beliau berkata, nilai-nilai murni dilihat semakin diketepikan masyarakat pada hari ini sehingga mewujudkan masalah sosial yang tidak mempunyai pengakhiran.

“Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, masyarakat semakin melupakan nilai-nilai murni seperti menghormati orang tua, jujur, amanah, prihatin dan bekerjasama.

“Pada masa sama, pertandingan seperti ini dapat mencungkil kreativiti masyarakat di negara ini terutamanya dalam kalangan generasi muda,” terangnya.

Mesran berkata, pertandingan video pendek SBNM ini juga boleh dimanfaatkan sebagai medium mengisi masa lapang mereka bersama keluarga ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.PKP 3.0 terpaksa dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung pandemik Covid-19 yang kembali menular di negara ini. Sepanjang pelaksanaan PKP, masyarakat disaran duduk di rumah dan keluar untuk tujuan tertentu sahaja.

Jelas Mesran, pihaknya menerima penyertaan yang sangat tinggi daripada masyarakat termasuk pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) ketika pelaksanaan PKP 3.0.

“Kami sedar ramai orang ketika ini terpaksa berkurung dalam rumah. Jadi, mereka boleh mengambil peluang bersama ahli keluarga untuk menghasilkan video. Mereka boleh bersama-sama menghasilkan video menarik di sekeliling rumah. Ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan serta mengeratkan kembali silaturahim antara ahli keluarga,” ujarnya.

PARA peserta boleh menghasilkan video berbentuk sketsa mengikut kreativiti
masing-masing berasaskan tema bulanan nilai murni yang ditetapkan.

Pertandingan video pendek SBNM terbuka kepada semua warganegara Malaysia sama ada secara individu atau berkumpulan. Berlangsung selama lima bulan, setiap bulan berlainan tema.

Video dihasilkan perlu berkonsepkan sketsa dengan durasi tidak melebihi tiga minit menggunakan sebarang peranti mengikut kreativiti peserta.

“Kualiti video haruslah Full HD1980P dan audio (DBFS -20 hingga -9) serta bersesuaian untuk paparan dalam bentuk media termasuk televisyen,” tegasnya.

Penilaian akan dibuat secara online oleh juri-juri profesional yang dilantik mengikut kepakaran bidang masing-masing.

Hadiah yang ditawarkan ialah wang tunai RM3,000 bagi seorang pemenang utama dan RM500 bagi tiga orang pemenang sagu hati pada setiap bulan. Semua keputusan pemenang akan diumumkan pada Oktober.

Tegas Mesran, video pendek yang dihasilkan para pemenang akan disiarkan di laman web serta televisyen rasmi JKKN sebagai satu penghargaan.

“Pertandingan seperti ini menawarkan banyak manfaat. Ia bukan sahaja boleh memberi kesedaran kepada pembuat video, malah mereka yang menonton,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI