KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan empat bot nelayan Vietnam yang dipercayai mencerobohi perairan negara untuk mencuri hasil laut kelmarin.
Kesemua bot nelayan tersebut ditahan Kapal Marim (KM) Nusa ketika sedang asyik mengaut hasil laut negara pada kedudukan antara 77 hingga 78 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada pukul 4 pagi.
Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, operasi tersebut berjaya menahan 46 nelayan Vietnam berusia dalam lingkungan 15 hingga 62 tahun.
“Pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja sah.
“Siasatan awal juga mendapati kesemua empat bot yang tidak mempunyai kebenaran untuk menangkap ikan oleh Jabatan Perikanan tersebut sudah lebih sebulan berada di perairan negara,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.
Muhammad Suffi berkata, APMM telah menyita empat bot, peralatan menangkap ikan, 14 tan hasil laut termasuk sotong dan 4,000 liter minyak diesel yang keseluruhannya dianggarkan RM6 juta.
Tambah beliau, kesemua barang rampasan itu telah ditunda ke jeti Pejabat Maritim Terengganu di sini. – K! ONLINE