PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) diharap dapat memberi keutamaan kepada aspek kualiti, kemahiran dan minat calon guru yang akan dipilih bagi mengisi kekosongan jawatan guru-guru sekolah di seluruh negara.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, walaupun kerajaan serius ingin menyelesaikan isu kekurangan guru dalam masa yang singkat, tiga elemen itu perlu diberi penekanan.
“Kesemua elemen ini perlu diberi penekanan oleh kerajaan kerana cabaran yang dihadapi dalam dunia perguruan ketika ini amat besar.
“Cuepacs juga tidak mahu pengambilan secara besar-besaran itu hanya mampu menyelesaikan isu kekurangan guru semata-mata, tetapi ia tidak memberi impak yang diharapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga meminta KPM memberi keutamaan kepada graduan pendidikan yang masih tidak mendapat penempatan dan layak berdasarkan opsyen mata pelajaran masing-masing supaya kemahiran dan keupayaan mereka dapat digunakan dengan lebih berkesan.
Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin mengumumkan pelaksanaan pengambilan khas secara ‘one-off’ seramai 18,702 pendidik bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sekolah-sekolah di seluruh negara. – K! ONLINE