BAKU – Turki akhirnya ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Euro 2020 selepas tewas 1-3 kepada Switzerland pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A di Stadium Olimpik Baku awal pagi semalam.
Skuad kendalian Senol Gunes itu menampilkan aksi terburuk dalam sejarah pasukan apabila gagal mengutip sebarang mata selepas tewas ketiga-tiga perlawanan selain hanya menjaringkan satu gol.
Kata Gunes, aksi hambar yang ditampilkan Turki pada kempen kali ini disebabkan beberapa faktor termasuk kurang pengalaman biarpun mereka dilabelkan antara pasukan pilihan untuk melangkah ke pusingan kalah mati.
“Saya tahu pasukan ini masih muda dan akan mencapai kemuncak 10 tahun akan datang, namun kami semua sedar prestasi pada Euro 2020 sangat hambar dan tidak boleh diterima sama sekali.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas prestasi yang ditampilkan oleh pasukan. Pihak pengurusan, kejurulatihan dan media juga perlu bertanggungjawab. Bagaimanapun, saya tidak akan melepaskan jawatan,” katanya yang pernah membimbing Turki memenangi tempat ketiga pada Piala Dunia 2002.
Dalam pada itu, pemain pertahanan, Merih Demiral percaya harapan terlalu tinggi yang diletakkan ke atas mereka turut menjadi punca mereka gagal untuk bermain seperti diharapkan.
“Apabila jangkaan terlalu tinggi, kekecewaan juga menjadi lebih besar apabila gagal. Bagaimanapun, pasukan ini masih muda dan saya yakin kami sudah belajar sesuatu kali ini,” ujarnya. – AGENSI