AMSTERDAM – Rekod cemerlang Belanda pada kempen Euro 2020 berterusan selepas menutup aksi peringkat kumpulan dengan rekod kemenangan bersih apabila berjaya menewaskan Macedonia Utara 3-0 sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Johann Cruyff itu, skuad Belanda yang sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati lebih awal tetap membariskan kesebelasan terbaik dengan diketuai oleh kapten, Giorginio Wijnaldum.
Bagaimanapun, mereka terlebih dahulu dikejutkan dengan gol ledakan Ivan Trichkovski seawal minit ke-10 tetapi jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid berdasarkan video bantuan pengadil (VAR).
Tersentak dengan itu, skuad kendalian Frank de Boer memperkemaskan jentera serangan dan berjaya meraih gol pembukaan hasil jaringan penyerang sensasi, Memphis Depay pada minit ke-24.
Bersambung babak kedua, skuad The Oranje terus garang apabila Wijnaldum yang juga bintang baharu pasukan Paris Saint-Germain (PSG) menambah gol kedua hasil gerakan menarik pada minit ke-51.
Bekas pemain tengah Liverpool itu terus mengganas apabila meledak gol kedua peribadi berselang tujuh minit kemudian untuk memastikan pasukan tuan rumah selesa di depan.
Pasukan Macedonia Utara masih enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal tetapi jaringan yang dilakukan oleh Darko Churlinov pada minit ke-73 turut dibatalkan kerana ofsaid.
Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus mengesahkan status pasukan Belanda sebagai juara Kumpulan C dengan sembilan mata selepas mengharungi tiga perlawanan. – K! ONLINE