LE CASTELLET, Perancis – Strategi dua hentian pit yang dilakukan pasukan Red Bull Racing ternyata memerangkap Mercedes selepas Max Verstappen melakukan kejutan sekali lagi dengan menjuarai Grand Prix (GP) Perancis di Litar Paul Ricard kelmarin.
Hasil kemenangan ketiga musim ini membolehkan Verstappen melebarkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan Formula Satu (F1) dunia mengetepikan pemandu Mercedes, Lewis Hamilton.
“Pada awalnya sangat sukar kerana terpaksa menempuh angin yang agak kuat. Saya juga gagal mengawal jentera pada awal saingan hingga terkeluar dari litar. Keadaan itu menyebabkan saya berdepan kesukaran untuk memecut lebih laju.
“Kami membuat keputusan untuk melakukan dua hentian pit dan bernasib baik strategi kali ini berkesan. Sepanjang perlumbaan, berlaku perselisihan pendapat dalam pasukan ini, tetapi saya rasa ia adalah baik kerana ‘pertengkaran’ itu adalah kerana untuk memastikan kami berjaya,” katanya.
Kemenangan itu membolehkan Verstappen mengatasi Hamilton dengan kelebihan 12 mata ketika mereka bakal beraksi dalam dua perlumbaan di laman sendiri buat pasukan Red Bull iaitu di Litar Red Bull Ring pada GP Styrian pada 27 Jun ini dan GP Austria pada 4 Julai depan.
Kejayaan manis Verstappen itu turut diserikan apabila rakan sepasukannya, Sergio Perez juga berjaya menaiki podium tempat ketiga selepas berjaya memintas seorang lagi pelumba Mercedes, Valtteri Bottas dihujung perlumbaan. – AGENSI