JOHOR BAHRU – Cubaan tiga daripada empat suspek pecah rumah melarikan diri daripada ditahan bukan sahaja gagal malah mereka mengalami kecederaan parah apabila terjun dari laluan bertingkat dalam kejadian di Jalan Tampoi, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 4.45 pagi itu, ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 22 hingga 30 tahun patah tangan, bahu dan pinggang.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota polis sedang menjalankan rondaan di Jalan Seri Orkid berhadapan Hutan Bandar, Taman Mutiara Rini.
Menurutnya, polis kemudian terserempak dengan sebuah Perodua Myvi berwarna biru dinaiki empat suspek sebelum mengarahkan mereka berhenti.
“Pemandu kenderaan itu tidak mengendahkan arahan untuk berhenti sebaliknya terus bertindak memecut laju menuju ke arah Jalan Skudai.
“Kereta tersebut bagaimanapun terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Tampoi berdekatan pusat beli belah Angsana Mall Johor Bahru.
“Semasa proses tangkapan dibuat, tiga suspek telah bertindak terjun dari ‘flyover’ dan mengalami kecederaan antaranya patah tangan, bahu dan pinggang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya sebuah radio, dua pembesar suara, sebuah mesin pemotong serta dua telefon bimbit dipercayai hasil jenayah. -K! ONLINE