fbpx

Polis tumpaskan Geng Sakai, rampas RM1.73 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmi (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas selepas menumpaskan Geng Sakai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Geng Sakai pada Ahad lalu.

Kumpulan yang aktif melakukan jenayah sejak tahun 2012 di sekitar ibu negara itu diketuai seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun dikenali sebagai Sakai.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, keahlian kumpulan tersebut dianggarkan seramai kira-kira 50 orang.

“Hasil risikan, kumpulan ini aktif melakukan pelbagai jenis jenayah seperti bunuh, pemilikan senjata api, pengedaran dadah, kekerasan dan gengsterisme.

“Kumpulan ini turut merekrut seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang tidak bersekolah untuk terlibat dalam jenayah mereka.

“Ketua dan ahli kumpulan pernah beberapa kali dikenakan tindakan dan ditangkap atas kesalahan jenayah,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, selepas dibebaskan, ketua dan ahli kumpulan ini kembali aktif melakukan jenayah.

“Pada Ahad lalu, satu operasi diberi nama Ops Fortress telah dilakukan dan berjaya menahan 24 orang suspek berusia dalam lingkungan 14 hingga 47 tahun di sekitar ibu negara, Melaka, Negeri Sembilan, Perak serta Terengganu.

“Serbuan tersebut turut berjaya merampas 318.6 gram dadah jenis syabu dan 445.5 gram heroin bernilai RM9,000,” jelasnya.

Tambahnya, polis juga merampas wang tunai sebanyak RM21,665, lima buah kenderaan mewah jenis Porsche Macan, Ford Ranger, Mercedes, BMW dan Mazda.

“Keseluruhan rampasan bernilai RM1.73 juta dan polis akan mengambil tindakan ke atas harta dan kewangan ahli kumpulan ini.

“Siasatan lanjut turut mendedahkan penglibatan dua suspek yang masih berada dalam penjara dan tujuh lagi suspek masih bebas. Usaha mengesan saki baki ahli kumpulan ini masih giat dijalankan,” jelasnya.

Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan 18 daripadanya di tahan di bawah Prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI