fbpx

PGA Batalion 16 Sabah rampas minuman keras, rokok hampir RM4.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kontena mengandungi pelbagai jenis minum keras yang diseludup masuk secara haram ke Sabah yang ditemui dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Limbanak semalam.

PENAMPANG – Pelbagai jenis minuman keras serta rokok seludup bernilai hampir RM4.5 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 Sabah dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Limbanak semalam.

Dalam operasi dikenali sebagai Ops Kontraban itu, pasukan task force perisikan Batalion 16 PGA Sabah turut menahan empat lelaki berumur antara 22 sehingga 34 tahun.

Komander Briged Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, semua barangan diseludup masuk berkenaan disembunyikan di dalam 10 stor kontena.

“Kejayaan operasi Ops Kontraban ini adalah hasil risikan pasukan task force perisikan Batalion 16 sejak April lalu selain maklumat orang awam.

“Siasatan lanjut mendapati dua daripada individu ditahan adalah warga tempatan manakala dua lagi warganegara Indonesia yang masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

“Semua barangan seludup yang dirampas membabitkan pelbagai jenis minuman keras dan rokok yang dianggarkan bernilai hampir RM4.5 juta,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Abduh menyatakan semua individu yang ditahan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut manakala barang yang dirampas akan dihantar ke stor berpusat barang kes IPD Kota Kinabalu selepas selesai proses dokumentasi.

“Semua suspek akan direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 KPJ dan siasatan lanjut dijalankan oleh IPD Penampang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, ” katanya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI