fbpx

Pengusaha kantin rayu moratorium, sambungan kontrak automatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah (kiri) bercakap semasa sidang akhbar PPKSM hari ini.

BANGI – Pengusaha kantin merayu agar kerajaan memberikan moratorium sewa kantin selama enam bulan berikutan sekolah masih belum dibenarkan buka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Hamzah Omar berkata, pihaknya juga merayu agar kerajaan melaksanakan sambungan automatik bagi kontrak perjanjian kantin yang bakal tamat pada tahun ini.

Beliau berkata, permohonan itu telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), namun sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan.

“Perkara ini sangat merunsingkan semua pengusaha kantin kerana mereka perlu bersedia untuk membuat pembayaran sewa pada Julai nanti, sedangkan pengusaha kantin sudah kehabisan duit simpanan ekoran tidak dapat berniaga sepanjang penutupan sekolah.

“Ada juga pengusaha kantin yang perlu bersedia bagi ditamatkan kontrak kantin sedangkan masih belum dapat berniaga sepanjang memperolehi tender bermula tahun 2019 kerana pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat PPKSM di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha PPKSM, Siti Normah Md. Desa pula berkata, pihaknya juga ingin memohon kepada kerajaan agar dapat memberikan keutamaan vaksin kepada pengusaha dan pekerja kantin sekiranya sesi sekolah telah dibuka semula.

“Ini sangat penting kerana sekiranya sesi sekolah telah dibuka semula nanti, sudah pasti pengusaha dan pekerja kantin perlu kembali bertugas menyediakan makanan dan minuman kepada semua pelajar dan guru.

“Sekiranya pengusaha dan pekerja kantin tidak divaksin sudah tentu ini akan meningkatkan risiko penularan virus Covid-19 di sekolah,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI