PETALING JAYA – Sikap prihatin seorang pemuda membantu menghantar bapa sahabatnya untuk mendapat suntikan vaksin tular dalam aplikasi perkongsian video TikTok baru-baru ini.
Menerusi klip video berdurasi 28 saat itu, pemilik akaun bernama aji_star85 menceritakan dia dihubungi kawan baiknya yang meminta dia menghantar bapanya untuk janji temu suntikan vaksin.
“Anak-anak semua tidak lepas balik kerana ‘total lockdown’. Jadi saya pergi ke rumah kawan dan bawa ayahnya untuk suntik vaksin.
“Kasihan tengok mereka ini. Ayah kawan sudah berumur 82 tahun. Masih boleh berjalan cuma tidak boleh berdiri lama,” katanya melalui kapsyen video tersebut.
Melalui ruangan komen, pemuda itu memberitahu, sudah 22 tahun dia bergelar anak yatim piatu dan menganggap ibu bapa rakannya seperti ibu bapa sendiri.
Video tersebut disukai lebih 20,000 pengguna media sosial tersebut selain dibanjiri komen yang kebanyakannya menyifatkannya pemuda itu sebagai sahabat sejati.
“Jarang dapat sahabat begini. Bertuah kawan awak,” ujar seorang netizen bernama Fathiah.
“Besar pengorbanan awak. Bangga dengan sikap awak. Tolonglah jangan tolak vaksin,” komen seorang pengguna bernama Alvieanna Adel Adiel.
“Saya tengok orang yang pakai baju hitam kelabu seperti ayah saya. Rindunya pada ayah sudah setahun tak berjumpa,” ujar seorang netizen bernama nrshdzd.
“Terharunya dapat kawan begini. Sahabat dunia akhirat. Bukan kawan dengan anaknya sahaja tetapi peduli dengan keluarga kawan. Semoga dipermudahkan urusan awak,” ujar seorang lagi netizen. – K! ONLINE