PETALING JAYA – Pelakon Lufya Omar berang dengan sikap segelintir individu yang masih tidak henti-henti menuduhnya sebagai golongan antivaksin.
Menerusi entri yang dimuat naik dalam Instagramnya, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar memberitahu dia sudah penat dan letih dengan fitnah yang diterimanya saban hari.
“Penatlah. Letih dengan fitnah dan soalan yang bukan-bukan. Ada lagi yang mesej (DM) nak menuduh saya macam-macam.
“Fya (panggilan untuk dirinya) nak beritahu yang Fya bukan antivaksin. Penat nak layan perkara-perkara yang macam ni.
“Yang penting pilih vaksin yang terbaik dan halal. Lepas ni sudah-sudahlah nak bangkitkan tentang isu vaksin ni. Buatlah sesuatu yang lebih bermanfaat sesama manusia,” tulisnya sambil berkongsi tangkap layar status vaksinasinya dalam aplikasi MySejahtera.
Menerusi hantaran sama, Lufya turut menerangkan secara mendalam apa yang dimaksudkan dengan imuniti kelompok atau ‘herd immunity’ yang hanya boleh dicapai menerusi vaksinasi.
Menjengah pada ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan selebriti memintanya untuk mengambil pendekatan tidak melayan dan mengabaikan segala DM bersifat negatif yang diterimanya.
Terdahulu, Lufya dan seorang lagi selebriti, Rita Rudaini turut menerima nasib sama apabila dituduh sebagai antivaksin oleh personaliti televisyen, Fara Hanim.
Selepas tiga hari berdiam diri, Fara Hanim tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dalam Instagramnya atas tuduhan yang dilemparkan kepada kedua-dua pelakon itu. – K! ONLINE