PETALING JAYA – Dua lagi lokaliti di negeri Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Khamis ini hingga 7 Julai depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan PKPD itu melibatkan Kampung Pangi Hujung dan Kampung JKR Lama di Kunak, Sabah yang merekodkan sejumlah 26 kes positif Covid-19 daripada 58 ujian saringan di kedua-dua kampung terbabit.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.
“Manakala tempoh PKPD di Kampung Kebayau, Kota Belud, Sabah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 7 Julai kerana masih terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan penamatan PKPD di Kampung Sungai Obar Batu 7 serta Fasa 9B Taman Indah Jaya, Sandakan di Sabah dan Kampung Penchala, Kuala Lumpur berkuat kuasa esok mengikut jadual yang ditetapkan.
Ismail berkata, PKPD membabitkan dua lagi lokaliti di Kudat, Sabah iaitu Kampung Sin San dan Kampung Singgahmata, Pulau Banggi yang sepatutnya berakhir pada hari Khamis ditamatkan sehari awal esok.
“Kerajaan turut bersetuju menmatkan PKPD di Taman Perdana Lahad Datu, Sabah bermula pukul 11.59 malam ini seperti dijadualkan kerana kes jangkitan telah menurun dengan kluster adalah terkawal,” ujarnya. – K! ONLINE