fbpx

‘Kuasa’ bernilai bilion dolar di tangan selebriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ronaldo secara spontan mengalihkan botol Coca-Cola ketika sidang akhbar Euro2020 baru-baru ini.

Baru-baru ini, pemilik jenama minuman antarabangsa Coca-Cola mungkin tersentak, tersentap dan tercabar saat menyaksikan video bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo yang berani mengalihkan dua botol minuman berkarbonat itu di atas meja dalam satu sidang akhbar.

Aksi Ronaldo itu juga sudah tentu mengundang cuak syarikat tersebut kerana tindakan personaliti berpengaruh yang merupakan manusia paling banyak pengikut di Instagram iaitu 301 juta orang memang boleh merudumkan jualan minuman ringan tersebut.

Pemain Portugal itu bertindak mengetepikan dua botol Coca-Cola di atas meja sebagai tanda penolakan terhadap minuman tersebut semasa sidang akhbar menjelang pertemuan dengan Hungary bagi aksi Kejohanan Euro 2020 minggu lalu, tatkala Coca-Cola merupakan salah satu penaja kejohanan tersebut.

Selepas mengalihkan botol Coca-Cola ke tepi dan jauh dari lensa kamera, Ronaldo mengambil sebotol air mineral yang asalnya bersebelahan Coca-Cola lalu melaungkan ‘agua!’ iaitu air kosong dalam bahasa Portugis bagai menyatakan air itu pilihannya dan seruan kepada khalayak agar membuat pilihan sama.

Difahamkan, tindakan Ronaldo, 36, adalah kerana selebriti sukan tampan itu mengamalkan diet ketat dan mengelak pengambilan terlalu banyak gula untuk mengekalkan fizikalnya berikutan usia kian meningkat.

Bayangkan natijah daripada satu tindakan mudahnya dengan cuma duduk di atas kerusi, nilai pasaran Coca-Cola kemudian jatuh sebanyak AS$4 bilion dolar (RM16.4 bilion). Jika anda sukar membayangkan besarnya kerugian itu, bandingannya adalah menyamai kira-kira tujuh hari atau seminggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia apabila kerajaan menganggarkan negara kerugian RM2.4 bilion sehari sepanjang PKP tahun lalu.

Hebat bukan kuasa seorang selebriti dunia? Hakikatnya, Ronaldo bukanlah satu-satunya bintang popular atau selebriti yang pernah menyebabkan sebuah jenama atau syarikat jatuh menjunam dengan hanya satu tindakan ringkas.

Model terkenal dan pempengaruh, Kelly Jenner pernah menyebabkan media sosial Snapchat kerugian AS$1.3 bilion (RM5.38 bilion) pada 2018 gara-gara wanita itu menulis di laman Twitter bahawa dirinya sudah tidak lagi menggunakan Snapchat.

Berbalik tindakan memilih air kosong Ronaldo, atlet sensasi itu sebenarnya telah menunjukkan contoh yang baik kepada orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Sekurang-kurangnya dia membuktikan lelaki yang menjaga fizikal dan kecergasan itu adalah seorang penggemar air kosong, apatah lagi mengikut kajian sains pengambilan air kosong boleh menurunkan berat badan serta amat diperlukan bagi pertumbuhan serta pemulihan otot kerana merangsang penghasilan elektrolit dalam tubuh.

“Aku takut kepada lelaki yang minum air kosong,” demikian sepotong ungkapan yang pernah diucapkan legenda inovasi tersohor dunia dan pencipta konduktor elektrik, Benjamin Franklin sebagai renungan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI