PEMAIN perseorangan wanita negara. S. Kisona menegaskan, dia belum berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan meskipun berjaya memenangi kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Sepanyol di La Nucia Sabtu lalu.
Pada perlawanan akhir, pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 Filipina mengenepikan cabaran rakan sepasukan, Goh Jin Wei menerusi aksi straight set 21-14, 21-19 dalam tempoh 31 minit.
Lebih manis, kemenangan itu berjaya menamatkan penantian Kisona selama dua tahun untuk memenangi gelaran, selain melakar kemenangan kedua ke atas Jin Wei yang merupakan bekas juara dunia remaja.
Meskipun gembira dengan gelaran tersebut, namun pemain berusia 23 tahun itu masih belum berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan sepanjang kejohanan itu.
“Saya gembira kerana berjaya mendapatkan kemenangan pada kejohanan ini selepas menampilkan aksi terbaik sehingga ke perlawanan akhir. Bagaimanapun, masih ada banyak lagi kekurangan dalam permainan saya.
“Harapan saya selepas ini adalah untuk mengkaji balik kelemahan yang ada serta bekerja keras dalam latihan bagi meningkatkan permainan menjelang kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas pertemuan antara dia dan Jin Wei, Kisona gembira kerana dapat berentap dengan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu selepas lama tidak bertemu sesama sendiri di pentas antarabangsa.
“Kami berdua sudah berikan yang terbaik pada perlawanan akhir dan rasa agak berbeza kerana sudah lama tidak bertemu sesama sendiri pada kejohanan kompetitif.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu membuat perbandingan berhubung corak permainan kami berdua kerana setiap pemain ada gaya masing-masing selain memiliki perjalanan tersendiri,” ujarnya.