PETALING JAYA – Siapa sangka bekas untuk menyimpan beras kini ‘laku keras’ setelah selebriti media sosial (instafamous) Khairul Aming membeli bekas beras di aplikasi Shopee tular beberapa hari lepas di laman Twitter.
Menurut Khairul Aming di akaun Twitternya @khairulaming, dia membeli bekas beras tersebut dan berasa amat teruja dengan barang yang dibelinya itu lalu berkongsi pautan di aplikasi Shopee.
Tambahnya lagi, bekas beras itu sudah pun habis dijual dan kira-kira sebanyak 1,800 unit telah pun terjual serta keuntungan yang diperoleh oleh tuan kedai tersebut sekitar RM90,000.
“Bekas beras tersebut sudah habis terjual semuanya. Bila saya kira-kira balik, hampir 1,800 unit bekas beras tersebut habis dijual. Keuntungannya pula kira-kira RM90,000.
“Saya tidak tahu siapa tuan kedai tersebut tetapi murah rezekinya semalam. Saya doakan yang terbaik untuk dia,” ciapnya di laman Twitter.
Rata-rata pengguna yang melihat ciapan dari Twitter Khairul Aming itu turut terkejut dan kagum kerana apa sahaja yang dibeli oleh Khairul Aming, pasti akan ada yang turut membeli produk yang sama.
Menurut seorang pengguna yang bernama @MeRep2p1, sesungguhnya dia kagum dengan Khairul Aming kerana apa yang dibeli oleh Khairul Aming, pasti akan cepat dijual.
“Khairul Aming ni, ‘review’ apa sahaja pasti akan cepat habis dijual. Jangan tiba-tiba ‘review’ kereta atau rumah, habis nanti semua orang beratur depan bank untuk buat pinjaman,” katanya.
Pengguna lain dengan nama @HabibMaam berkata, dia tidak menjangka bekas beras yang diletakkan dalam troli di Shopee sudah pun habis dijual sebelum sempat dia membuat bayaran.
“Lah, patutlah bekas beras yang ada dalam senarai troli sudah habis dijual. Kena promote (promosi) dengan Khairul Aming rupanya. Semalam saya masuk dalam senarai troli, ingatkan pagi tadi mahu teruskan dengan pembayaran. Saya pula tidak syak sesiapa,” ujarnya. – K! ONLINE.